Followers

Monday, September 10, 2012

Dilema si Pekerja berstatus Kontrak


Siapakah itu pekerja kontrak?




Tidak terdapat definisi khusus bagi menjelaskan maksud pekerja kontrak di dalam Akta mahupun undang-undang bertulis yang lain. Namun, mengikut kamus Oxford, pekerja kontrak ditakrifkan sebagai buruh atau pekerja kontrak dan biasanya merujuk kepada pekerja yang diambil bekerja untuk tugas tertentu bagi suatu tempoh tertentu. Di Negara Dunia Ketiga, istilah ini kadang-kala merujuk kepada suatu sistem yang mana pekerja diambil bekerja oleh orang tengah yang turut dikenali sebagai kontraktor buruh. Kontraktor buruh inilah yang membekalkan tenaga buruh kepada majikan dengan suatu bayaran tertentu. Pekerja ini kebiasaannya terikat kepada kontraktor tersebut menerusi pelbagai mekanisme contohnya kebebasan mereka untuk bergerak turut dipantau oleh kontraktor buruh.

Ada pula yang mendefinisikan pekerja kontrak sebagai seseorang pekerja yang diambil bekerja berlandaskan suatu perjanjian untuk bekerja tetapi pekerja tersebut tidak diupah oleh syarikat yang mana pekerja tersebut melakukan kerja-kerja untuknya. Sebagai contoh, syarikat ABC Berhad telah melantik syarikat BBBZZZ SDN BHD bagi melakukan kerja-kerja pembersihan syarikat. Ini bermakna kerja-kerja pembersihan syarikat dilakukan oleh pekerja syarikat BBBZZZ SDN BHD. Ia lebih dikenali sebagai penyumberluaran atau istilah inggerisnya "outsourcing".

Istilah pekerja kontrak yang diterimapakai oleh syarikat saya bekerja adalah seseorang yang diambil bekerja dan digaji oleh syarikat, yang mana tempoh perkhidmatannya telah ditetapkan dan akan dinilai berdasarkan tahap serta kemajuan prestasi seseorang pekerja itu. Tempoh perkhidmatan seseorang pekerja kontrak di syarikat ini mungkin akan disambung secara tahunan atau bulanan. Beliau juga berkemungkinan untuk diserap sebagai pekerja tetap atau lebih malang lagi, diberhentikan kerja. Ini semua bergantung sepenuhnya kepada kehendak syarikat dan selagi mana khidmatnya diperlukan oleh syarikat.

Bagi pihak majikan, mereka selalu beralasan bahawa pengambilan pekerja secara kontrak adalah bagus bagi meningkatkan produktiviti dan disiplin seseorang pekerja di syarikat mereka. Ia juga merupakan satu proses saringan bagi melahirkan pekerja yang berkualiti. Selain itu, ia bertujuan untuk menilai tahap prestasi seseorang pekerja samada ia bersesuaian dengan jawatan serta persekitaran kerjanya.

Dari perspektif pekerja pula, bahawa status pekerja tetap adalah suatu perkara yang diimpikan oleh setiap pekerja kontrak. Asasnya adalah bertitik tolak dari soal jaminan kerja. Pada tahun 1997, krisis ekonomi telah melanda negara-negara di Asia Tenggara dan negara kita Malaysia adalah tidak terkecuali. Kesan daripada krisis tersebut, banyak syarikat-syarikat serta institusi kewangan telah bergabung (merged) bagi menangani masalah kerugian syarikat serta mengelak dari terpaksa gulung tikar.Sebagai contoh di dalam industri perbankan, Bank Bumiputra Malaysia Berhad (BBMB) dan Bank of Commerce (Malaysia) Berhad (BOCB) telah bergabung dan menjadi Bumiputera Commerce Bank (kini CIMB). Impak dari penggabungan ini adalah, ramai pekerja yang terpaksa dibuang sama ada secara paksa atau sukarela bagi mengecilkan skala tenaga kerja dengan alasan terdapatnya lebihan tenaga kerja di dalam syarikat yang telah bergabung itu. Pastinya, kumpulan pekerja yang mengalami risiko yang lebih tinggi untuk dibuang dalam situasi ini adalah pekerja kontrak berbanding pekerja tetap memandangkan perjanjian pekerjaan mereka yang lebih fleksibel, longgar serta banyak bergantung kepada budi bicara majikan. Lebih malang lagi apabila Mahkamah Perusahaan mengeluarkan ketetapan berhubung kes-kes pemberhentian, iaitu dasar "yang akhir datang akan pergi dulu".

Polisi pengambilan pekerja secara kontrak juga akan melahirkan budaya takut di kalangan pekerja-pekerja kontrak itu sendiri. Ini adalah kerana soal tuntas kerjaya mereka berada di dalam genggaman majikan. Seperti yang diketahui, pihak majikan mempunyai kuasa penuh di dalam menentukan status pengambilan pekerjanya. Justeru, adalah dikhuatiri sekiranya mereka melakukan sesuatu yang tidak disukai oleh majikan contohnya bergiat cergas di dalam Kesatuan Sekerja, mereka akan mengalami risiko tidak disambungkan kontrak perkhidmatannya.Ini secara tidak langsung memberi kesan negatif kepada gerakan pekerja dan boleh dianggap sebagai tindakan yang bersifat anti-kesatuan.

Selain soal jaminan kerja, kesulitan pekerja kontrak untuk mengakses kemudahan kewangan atau kredit sepertimana pekerja tetap turut menjadi satu masalah. Sebagai contoh, pekerja kontrak sukar membuat pinjaman peribadi atau perumahan dari pihak bank. Pihak bank secara terang menyatakan bahawa kelayakan para peminjam bagi pinjaman perumahan mestilah berstatus tetap dan membuktikan status ini melalui surat pengesahan jawatan daripada syarikat. Tidak dinafikan bahawa semua pekerja, tanpa mengira tetap atau kontrak, memerlukan bantuan pinjaman kewangan dari pihak bank untuk membeli rumah kediaman yang diimpikan. Status kontrak pekerja dalam hal ini, telah seolah-olah menghalang seseorang individu itu dari menikmati kemudahan paling asas di dalam hidupnya iaitu memiliki sebuah tempat kediaman.

Terdapat juga sebilangan kes di mana berlakunya amalan pilih kasih dan kronisma oleh syarikat di dalam menentukan pekerja yang layak diserapkan ke status tetap. Syarikat mempunyai budi bicara yang luas untuk membuat penentuan ini sehingga kadang-kala, kriteria yang digunakan untuk menentukan sama ada seseorang pekerja kontrak layak diserap ke status tetap bukanlah berlandaskan kualiti kerja yang ditonjolkan tetapi faktor lain yang tidak relevan. Bak kata pepatah, "It's not what you know, but who you know".
Pengambilan pekerja secara kontrak tidak hanya memberi kesan negatif kepada pekerja sahaja, malah ia turut memberi kesan negatif kepada pihak syarikat. Keinginan pekerja kontrak untuk kekal lama di syarikat adalah kurang berbanding pekerja berstatus tetap. Ini kerana mereka merasakan mereka adalah pekerja kelas kedua dan beranggapan bahawa khidmat mereka hanyalah sekadar mengisi kekosongan jawatan memandangkan faedah-faedah yang ditawarkan oleh pihak syarikat adalah kurang berbanding dengan pekerja tetap, walhal skop kerja mereka adalah sama. Senario berpindah-pindah tempat kerja akan berlaku dan syarikat akan kehilangan pekerja yang berpengalaman dan cekap. Ia juga akan meningkatkan kos syarikat bagi memberi latihan dan pendedahan kepada pekerja-pekerja baru. Ia juga akan membantutkan profesionalisme pekerja dan melahirkan tahap pekerja yang kurang berkualiti.

Bila dinilai semula permasalahan pekerja kontrak sepertimana yang dibincangkan di atas, jelas bahawa pihak kesatuan sekerja haruslah memainkan peranan aktif dalam memastikan pihak majikan tidak sewenang-wenangnya mengambil pekerja secara kontrak. Bagi syarikat yang pekerjanya mempunyai kesatuan sekerja, "perjanjian bersama" (CA) haruslah digunakan sebaik-baiknya oleh pihak kesatuan bagi membendung pengambilan pekerja secara kontrak. Pihak kesatuan haruslah meletakkan satu klausa khusus di dalam CA yang menyatakan bahawa pihak majikan tidak boleh mengambil pekerja secara kontrak sesuka hati melainkan atas pilihan pekerja itu sendiri atau setidak-tidaknya mewajibkan syarikat meletakkan satu jangkamasa yang minima untuk seseorang pekerja itu diberi status kontrak sebelum diserapkan ke status tetap.


Nota: Aku adalah pekerja kontrak seperti di atas bermula dari 15/11/2010 hingga 15/11/2012... so kontrak aku bakal abes tak lama lagi... ape nasib aku selepas ini... tungguuuu....


sharing is caring by iNs
 

No comments:

Post a Comment